Khamis, 9 Februari 2023

RENCANA "RUMAHKU SYURGAKU"

 Rumahku Syurgaku   

oleh: Muhammad Haiqal Iqbal bin Khairul Anuar 

          Melentur biarlah dari rebungnya. Saranan peribahasa ini adalah untuk mendidik anak-anak haruslah bermula sejak mereka kecil lagi bukannya ketika mereka telah dewasa. Tempat terawal anak-anak memperoleh pendidikan secara tidak formal adalah di rumah. Oleh itu, sesebuah rumah yang dihuni oleh keluarga yang harmoni dapat diibaratkan seperti syurga manakala rumah yang dihuni oleh keluarga yang porak-peranda diibaratkan seperti neraka. Bukannya kekayaan dan kemewahan yang menjadi kayu pengukur sesebuah keluarga yang bahagia sebaliknya hubungan akraab sesama keluarga yang lebih diutamakan.

       Secara jumlahnya, konsep Rumahku Syurgaku bermula daripada hubungan mesra ibu bapa. Ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap keluarga pasti sanggup berkorban apa-apa sahaja demi kebahagiaan anak-anak. Hakikatnya bapa ialah orang yang mencari nafkah untuk keluarga. Sudah menjadi tanggungjawab bapa untuk menyediakan keperluan asas keluarga seperti tempat tinggal yang selesa, makanan serta pakaian yang mencukupi. Oleh itu, bapa perlu bekerja kuat untuk menjana ekonomi keluarga yang lebih mantap dan bukannya sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apabila keperluan asas anak-anak telah lengkap maka anak-anak tidak akan berpelesaran lagi di luar rumah dan mereka dapat berasakan bahawa rumah yang didiami ibarat syurga. Tanpa mengetepikan peranan ibu, dewasa ini banyak ibu yang bekerja demi membantu kewangan suami. Perkembangan ini sebenarnya adalah baik namun begitu tidaklah sampai mengabaikan anak-anak. Tidak dapat dinafikan bahawa anak-anak lebih rapat dengan ibu berbanding bapa. Justeru, dalam kesibukan mencari nafkah, ibu perlu meluangkan masa untuk anak-anak mereka agar anak-anak mereka  tidak berasa terabai dalam keluarga sendiri. Hal ini juga dapat mengelakkan anak-anak daripada berasa bosan dan akhirnya terjebak dalam gejala negatif seperti gejala lepak, ketagih dadah dan lari dari rumah.   

              Konsep "Rumahku Syurgaku" juga bertambah berkesan dengan adanya komunikasi dua hala dalam kalangan keluarga. Ibu bapa tidak perlu bersifat autokratik semasa berkomunikasi dengan anak-anak. Jadikanlah anak-anak sebagai sahabat terbaik agar anak-anak mudah untuk meluahkan masalah dan pendapat mereka kepada ibu bapa. Berikanlah hak anak-anak untuk bersuara agar mereka tidak memendam masalah sehingga akhirnya tersalah memilih rakan sebaya untuk meluahkan perasaan. Hakikatnya, ibu bapa memang perlu mengawal anak-anak tetapi tidaklah sampai mengongkong segala kebebasan mereka. Berikanlah mereka ruang untuk bernafas dalam rumah mereka sendiri dan jadilah kaunselor terbaik untuk anak-anak sendiri. Sesungguhnya segala masalah antara keluarga akan dapat diselesaikan walaupun seberat mana asalkan komunikasi dua hala berkesan. Bayangkanlah betapa nikmatnya tinggal di dalam sebuah rumah yang mana penghuninya bergembira dan bergelak tawa serta terbuka pemikiran masing-masing dalam menangani sebarang cabaran. Apabila keluarga bahagia maka penghuni di dalamnya akan lebih ceria.

       Secara keseluruhannya,institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia memerlukan banyak unsur juga seperti kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya. Semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Keluarga bahagia dapat menjamin kemakmuran negara dan dapat menjana kemajuan negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan